JAGUH DUNIA…Bonnie Bunyau (kanan) bersama jurulatihnya, Jamil Adam.

KUCHING: Empat atlet angkat berat Para Sarawak akan berentap dalam Kejohanan Angkat Berat Para Dunia Terbuka Asia- Oceania 2022 di Pyeongtae, Korea bermula dari 14 hingga 20 Jun nanti.

Pemegang rekod dunia, Bonnie Bunyau Gustin mengetuai himpunan atlet terbabit yang akan bertanding dalam kategori kegemarannya iaitu 72 kilogram.

Seorang lagi rakannya iaitu Jong Yee Khie akan berentap dalam kategori 107 kilogram.

Selain itu, dua lagi atlet angkat berat Para Sarawak iaitu Nicodemus Manggoi dan Bryan Junency Gustin akan beradu nasib dalam kategori masing-masing (88kg) dan (80kg).

Jurulatih angkat berat para negara, Jamil Adam berkata lima atlet kesemuanya yang mewakili negara dalam kejohanan itu termasuk seorang lagi dari Kelantan, Mohd. Nor Azri yang akan berentap dalam kategori (97kg).

Menurut Jamil, penampilan kesemua atlet terbabit dalam kejohanan itu lebih kepada pemburuan mata bagi mengintai slot ke Sukan Paralimpik Perancis 2024.

“Memang ada beberapa atlet kita yang sudah layak ke temasya berprestij dunia (Sukan Paralimpik Perancis 2024).

“Namun, tidak terkecuali ada kalangan mereka yang masih bergelut untuk memburu slot berkenaan,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Jamil juga berharap atlet terlibat dalam kejohanan itu dapat menggunakan peluang berkenaan dengan sebaik mungkin.

Bukan sahaja sebagai landasan terbaik meningkatkan prestasi semasa mereka malah cuba meraih mata sekali gus dapat menempatkan diri untuk turut serta bertanding di Perancis nanti.

Suara Sarawak