Kek Jantung Pisang Rabiah Amit

KUCHING: Layak diangkat menjadi antara warisan masyarakat Melayu Sarawak, tibanya Aidilfitri, Kek Jantung Pisang pasti muncul di celah pelbagai kek moden yang membanjiri pasaran.

Kek yang telah hidup sejak berpuluh-puluh tahun lalu serta tidak tahu identiti penciptanya itu memiliki keunikan tersendiri — dimasak di atas kuali sahaja dan tanpa menggunakan ketuhar.

Tak ingin kek jantung pisang ditelan zaman, pembuat kek lapis tersohor Sarawak, Rabiah Amit memberi nafas baharu dalam adunan ciptaannya tersendiri iaitu menambah warna sebagai penyeri dan gula apong untuk variasi rasa.

“Resipi ini pada asalnya tidak ada rasa dan warna kerana orang dulu-dulu membuatnya hanya dengan bahan asas seperti tepung diadun dengan telur,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Menurut Rabiah, hasrat ingin mengkomersialkan kek tradisi berkenaan menjadi pendorong anak jati Kuching ini menginovasi resipi agar kek itu lebih menarik dan mempunyai rasa.

Pada masa gang sama, Rabiah mengakui melalui pengalaman lebih 40 tahun dalam bidang membuat kek lapis juga mencetus ilham beliau mempromosikan kek orang lama itu melalui media sosial sehinggakannya tidak menang tangan menerima tempahan.

“Walaupun cara membuat kek ini amat rumit dan memerlukan kesabaran yang tinggi… ia tidak mematahkan semangat saya,” ujarnya sambil mengakui tanggungjawabnya untuk memartabatkan kek tradisi tersebut.

Di sebalik wajahnya yang cantik berlapis coklat perang dalam lekukan pada sisi yang rapi, Rabiah yang sedang melakukan demonstrasi membuat kek tersebut di hadapan kami mengakui setiap lapisan kek berkenaan perlu diratakan ketika ia sedang dimasak dalam kuali bagi memastikan lapisan demi lapisan tersusun kemas.

“Kalau sisi-sisi hujung bulatan kek ini tidak dirapikan, lekukan kek nanti tidak akan nampak,” jelasnya dan menambah, sepanjang Ramadan ini, beliau menghabiskan masa membuat 10 biji kek tersebut setiap hari.

Selain membuat dan menerima tempahan untuk Aidilfitri kali ini, Rabiah yang pernah bergelar juara bertahan sebanyak lima kali bagi pertandingan membuat kek asli peringkat kebangsaan dengan membawakan Kek Jantung Pisang sebagai taruhan, beliau kini turut menjadi tenaga pengajar kepada mereka yang ingin mempelajari cara membuat kek tersebut.

“Saya membawa kek ini di seluruh Malaysia hingga saya memenangi pertandingan peringkat kebangsaan sebanyak lima kali yang melayakkan saya memperoleh Malaysian Book of Record beberapa kali juga,

“Sudah tiba masanya saya menurunkan ilmu kepada orang ramai terutama golongan belia yang berminat untuk meneruskan legasi kek ini,” katanya lagi.

Rabiah yang pernah menerbitkan tiga buku masakan dan kek lapis sebelum ini turut yakin Kek Jantung Pisang mampu menjulang nama sesiapa sahaja yang menyertai pertandingan membuat kek tradisional pada masa akan datang.

“Ini bukan lagi rahsia kerana kek inilah menjulang nama saya suatu ketika dahulu… jadi kepada sesiapa yang ingin bertanding kek asli, pertaruhkan kek ini untuk menang,” ujarnya pernah membuat kek berkenaan di Istana Kelantan.

Sementara itu, Rabiah mendedahkan beliau tidak menang tangan untuk menyiapkan Kek Jantung Pisang untuk Aidilfitri ini namun tempahan untuk Hari Raya Aidiladha sudah mula dibuka menerusi akaun Facebook Rabiah Amit.

Suara Sarawak