KUCHING: Kementerian Pengangkutan Pusat serta syarikat penerbangan digesa untuk mengkaji semula harga tiket penerbangan ke Sarawak menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman mendakwa semakan terhadap harga tiket penerbangan dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak sudah melambung tinggi walaupun baru seminggu memasuki bulan puasa.

Katanya, perkara ini jelas membebankan mereka khususnya golongan yang bekerja di Semenanjung kerana terpaksa membatalkan niat untuk pulang ekoran harga tiket penerbangan yang terlalu tinggi.

“Justeru, saya menggesa Kementerian Pengangkutan Pusat untuk melihat perkara ini dan memastikan tambang penerbangan dapat dikurang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fazzrudin yang juga merangkap sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong turut mempersoalkan mengapa penerbangan dihadkan dari semenanjung ke Sarawak terutama apabila sempadan negara dibuka semula seperti biasa.

Justeru, dengan peningkatan permintaan untuk penerbangan pulang ke Sarawak, beliau menggesa syarikat penerbangan supaya bersimpati dengan kesusahan orang ramai dan mengurangkan harga tiket penerbangan dengan menawarkan lebih banyak penerbangan.

Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman

Suara Sarawak