KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKK) melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak sentiasa berusaha meningkatkan kualiti dan kuantiti kotak sumbangsih musim perayaan.

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pihaknya yakin sumbangan kecil yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak itu mampu membawa makna yang sangat besar kepada penerimanya.

“Kami akan berusah meningkatkan kualiti dan kuantiti kotak sumbangsih ini dari tahun ke tahun.
“Semoga usaha murni ini sentiasa mendapat sokongan semua pihak dan diteruskan demi menghargai jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan dan pengutkuasaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangsih Raya 2022 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bertempat di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Sebanyak 11,500 kotak barangan Sumbangsih Raya 2022 bakal diagihkan kepada 10 agensi penerima tahun ini, sekali gus peningkatan sebanyak 1,000 kotak berbanding tahun 2021.

Antara agensi yang menerima sumbangan tersebut termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Suara Sarawak