BARU-BARU ini Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian memaklumkan pihaknya dalam usaha menubuhkan Pusat Kanser Sarawak (PKS).

Setelah penubuhan Pusat Jantung Sarawak (PJS), usaha membina PKS merupakan salah satu usaha murni yang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak untuk membantu rakyat.

Sebelum ini, sebelum penubuhan PJS, rakyat di Sarawak terpaksa ke Pusat Jantung Negara di Kuala Lumpur untuk melakukan pembedahan.

Keadaan ini amat menyulitkan rakyat kerana dalam kesusahan, mereka perlu mendapatkan dana untuk kos ke sana seperti tiket penerbangan, penginapan ahli keluarga yang menghantar dan sebagainya.

Namun, apabila PJS sudah dibina, ramai rakyat Sarawak dapat menikmati kemudahan ini terutamanya golongan yang memerlukan seperti warga emas dan penduduk di luar bandar.

Oleh itu, usaha membina PKS ini amat berpatutan dan menjadi harapan rakyat Sarawak.

Pusat yang dijangkakan bakal memberikan perkhidmatan terbaik dengan fasiliti perubatan kanser kelas pertama itu akan membantu rakyat khususnya penghidap penyakit berkenaan dengan anggaran kos pembinaan bernilai RM1 bilion.

Walaupun belum ada perkembangan terkini daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kita percaya PKS ini akan boleh dibina tidak lama lagi.

Terdahulu, menurut Kui Hian, Sarawak menawarkan peruntukan pendahuluan RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan untuk membina PKS berkenaan dan masih menanti keputusan.

Ia sama seperti keadaan Sarawak menawarkan peruntukan RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan untuk membaik pulih sekolah daif.

Ramai yang mempersoalkan situasi ini, mengapa negeri kita menawarkan peruntukan itu sedangkan boleh sahaja kita sendiri membaik pulih sekolah atau membina sahaja PKS.

Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa kuasa pendidikan dan kesihatan kita di bawah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak terpaksa melakukan tugas berdasarkan perkara ini.

Oleh sebab yang demikian, Kerajaan Sarawak tidak pernah putus untuk menuntut hak daripada Kerajaan Persekutuan berkaitan kuasa dalam bidang pendidikan dan kesihatan ini menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Hal tersebut bagi membolehkan kita mendapat hak autonomi terhadap banyak bidang seperti pengendalian minyak dan gas negeri, bidang pendidikan, kesihatan, penjumlahan kerusi di parlimen dan sebagainya.

Kita beruntung kerana masih ada panduan dalam MA63 berkenaan yang menjadi tanda aras untuk kita menuntut beberapa hak yang telah terhakis sekian lama.

Walaupun hanya baru sekarang perkara itu ditimbulkan, kita bersyukur kerana diberi peluang untuk menuntut hak kita sendiri sebagai sebuah wilayah yang menubuhkan Malaysia.

Sebab itu, ramai rakyat Sarawak tidak mahu Sarawak disamakan seperti negeri-negeri lain di Semenanjung, kerana Sarawak merupakan wilayah yang bersama Tanah Melayu, Sabah dan Singapura menubuhkan Malaysia.

Dalam erti kata lain, Sarawak menjadi pelengkap semasa menubuhkan Malaysia.

Oleh sebab itu, kita harus menyokong usaha-usaha Kerajaan Sarawak dalam mendapatkan hak autonomi ini demi kebaikan rakyat. Penubuhan PKS ini merupakan salah satu usaha yang harus kita sokong untuk kebaikan bersama.

Rakyat akan jauh lebih senang dan mudah mendapatkan rawatan dan pembedahan kanser sekiranya pusat ini dibina kerana lebih menjimatkan dan mempunyai fasiliti terkini yang moden.

Gambar hiasan

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak