PADAWAN: Kerajaan diminta untuk mempertimbangkan pelaksanaan kenaikan gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa pada Mei depan.

Timbalan Menteri Komoditi dan Perusahaan Peladangan Datuk Willie Mongin berkata, pelaksanaan tersebut dikhuatiri membebankan segelintir perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Lebih-lebih lagi yang baharu memulakan perniagaan serta dalam keadaan negara sedang membina semula ekonomi setelah menerima impak Covid-19.

“Saya berharap kerajaan dapat memperhalusi pelaksanaan ini kerana kita tidak mahu melihat usahawan yang baharu mengembangkan atau berjinak dalam alam perniagaan terkesan.

“Ia harus dilihat sebagai formula situasi menang-menang dengan gaji minimun ini tidak terlalu menekan usahawan,” katanya kepada media selepas merasmikan Pejabat Urusan Persatuan Segu Bunuk Penrissen, Kampung Bunuk di sini, hari ini.

Justeru beliau berharap kerajaan bukan sekadar melihat kenaikan gaji minimum dari satu sudut walaupun menerima tekanan dari buruh asing yang bekerja di negara ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju meluluskan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bermulai 1 Mei depan.

RASMI…Willie (tengah) merasmikan pejabat urusan Persatuan Segu Bunuk Penrissen, Kampung Bunuk hari ini. 

 

Willie ketika ditemui media

Suara Sarawak