KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memberikan pinjaman pendahuluan sebanyak RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan menubuhkan Pusat Kanser Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, dengan wang pendahuluan tersebut, kerajaan pusat tidak lagi dapat menggunakan alasan ‘tiada wang’ untuk menangguhkan pembinaan kemudahan yang amat diperlukan itu.

“Langkah seterusnya adalah menunggu keluluskan Kabinet serta Perdana Menteri untuk pinjaman pendahuluan tersebut.

“Usaha ini amat penting untuk kita menyelamatkan nyawa rakyat kerana sekitar 5,000 kes kanser dilaporkan di Sarawak setiap tahun ,” katanya dalam perkongsian di Facebooknya, semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin di Kuala Lumpur.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut memberitahu, Sarawak memerlukan sekitar 250 hingga 300 katil di hospital baharu itu kelak serta dilengkapi dengan fasiliti yang canggih.

“Diharap usaha ini dapat menyelesaikan isu yang kita memerlukan pusat kanser sendiri selepas beberapa percubaan untuk menubuhkannya sebelum ini tidak berjaya.

“Saya menantikan bukan sahaja berita baik, tetapi pelantikan perunding dan yang paling penting, tindakan segera,” tegasnya.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Persekutuan Datuk Aaron Ago Dagang dan Timbalan Menteri Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak Michael Tiang.
Terdahulu pada Januari, Dr Sim memberitahu Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah bersetuju untuk menggunakan dahulu dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut, manakala kerajaan persekutuan akan membayar balik peruntukan tersebut kemudian.

Katanya, pembinaan pusat tersebut seharusnya menggunakan dana kerajaan pusat, namun Sarawak bersetuju untuk menggunakan dahulu dana kerajaan negeri supaya rakyat tidak menunggu terlalu lama untuk mendapatkan rawatan kanser.

Dr Sim menerima cenderamata daripada Khairy Jamaluddin selepas kunjungan hormat di Kuala Lumpur, semalam.

Suara Sarawak