KUCHING: Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) dan Kongres Kebangsaan Dayak (DNC) mencadangkan agar Kerajaan Sarawak mengambil-alih pengeluaran sijil lahir dan kad pengenalan kepada rakyatnya.

Katanya, Kerajaan Sarawak seharusnya memulakan langkah dalam menyelesaikan masalah rakyat yang tiada dokumen pengenalan diri tanpa campur tangan Kerajaan Persekutuan.

“Ia boleh dilaksanakan dengan mengguna pakai Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian [Bab. 10 (1958 Ed.) untuk mengeluarkan siji lahir bagi rakyat negeri ini.

“Kerajaan Persekutuan pula harus mengeluarkan kad pengenalan berdasarkan sijil lahir keluaran Kerajaan Sarawak.

“Selain dari itu, DTTAS dan DNC juga mencadangkan agar Kerajaan Sarawak melalui Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan bertindak menyelesaikan masalah yang berpanjangan ini,” katanya dalam kenyataan media bersama, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Pengasas dan Penasihat DTTAS, Wellie Henry Majang dan Presiden DNC Paul Raja.

“Dasar Kewargenaraan Negara yang gagal ini juga harus dikaji semula. Ia harus diperbaiki dari semasa ke semasa supaya lebih berkesan dalam membantu rakyat yang tiada dokumen pengenalan diri,” ujarnya.

Dalam pada itu, DTTAS dan DNC menyambut baik dan mengalu-alukan langkah Pejabat Premier Sarawak mengeluarkan dokumen sementara untuk anak-anak bawah 21 tahun yang tidak mempunyai status warganegara.

Wellie Henry Majang
Paul Raja

Suara Sarawak