Abang Johari ketika ditemui media selepas merasmikan penutupan Majlis Jelajah Ramadan RTM Kuching, di Dewan Datuk Patinggi Ali di sini, hari ini. GAMBAR ALIF NONI.

GEDONG: Kerajaan Sarawak bersedia untuk membeli pil antiviral Paxlovid, keluaran Pfizer untuk kegunaan rakyat bagi menggantikan sistem suntikan vaksin dalam fasa endemik Covid-19 ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) telah berbincang bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha pembelian pil tersebut.

“Kita telah memberi kebenaran dan peruntukan khas kepada Pengerusi JPBN Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Seri Sim Hui Kian untuk membeli pil tersebut untuk kegunaan di Sarawak. Peruntukan akan diberikan mengikut berapa jumlah pesanan.

“Kita beli untuk kegunaan sendiri dalam fasa peralihan endemik ini di mana tidak perlu lagi vaksin sekiranya sudah ada pil itu,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Majlis Jelajah Ramadan RTM Kuching, di Dewan Datuk Patinggi Ali di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan itu diambil setelah mengambil kira pandemik telah memasuki fasa endemik.

Buat masa ini katanya, JPBN cuma menunggu pihak KKM berhubung keputusan Kerajaan Sarawak untuk membeli dan menggunakan pil tersebut.

Beliau dalam ucapanya turut mendedahkan Kerajaan sarawak telah membelanjakan sebanyak 5.8 bilion dalam usaha membantu rakyat ketika pandemik Covid-19.

Terdahulu, Malaysia meluluskan penggunaan pil untuk rawatan Covid-19 keluaran Pfizer, Paxlovid secara pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana.

Suara Sarawak