KUCHING: Ketiadaan beberapa tonggak utama dalam barisan kesebelasan pasukan Sarawak United FC (SU FC) menjadi faktor kekalahan kepada Terengganu FC, malam tadi.

Ketua Jurulatih SU FC Satiananthan R. Bashkran berkata beliau sudah menjangkakan pasukan akan mengalami kesukaran pada aksi tersebut selepas kelompong yang ditinggalkan pemain-pemain utama terpaksa diisi dengan pemain sedia ada serta mereka yang baru sahaja beraksi akibat kecederaan sebelum ini.

“Saya dah jangka, memang susah untuk melawan Terengganu FC kerana kita tidak dapat menurunkan beberapa pemain utama iaitu Boris Kok, Lee Changhoon dan Norman Angkun.

“Kouassi Francis Kone juga belum cergas sepenuhnya, manakala Mohammad Amer Saidin dan Chanthuru Suppiah baru beraksi perlawanan pertama.

“Kita ada banyak masalah namun melihat kepada permainan semalam ada beberapa peluang cuba dilakukan selepas ketinggalan satu gol pertama dijaringkan Terengganu FC,” katanya dalam sidang media semalam.

Tambah Sathianantan, beliau mengakui kecewa selepas perancangannya gagal dipraktikkan dengan baik oleh pemain-pemain dalam perlawanan terbabit.

Perkara itu dedahnya, menjadi punca pasukan gagal menggunakan peluang menentang 10 pemain Terengganu FC sehingga akhirnya dihukum dengan satu lagi gol kemenangan pihak lawan pada minit terakhir perlawanan.

“Pada minit 20 terakhir perlawanan, kita terlalu terburu-buru nak hantar bola ke tengah dengan mengarahkan bola secara terus kepada Kone.

“Ketika situasi pihak lawan bermain 10 orang kita seakan-akan dalam keadaan terdesak,” ujarnya.

Tegas beliau, perkara tersebut akan disuarakan kepada anak-anak buahnya selepas ini bagi memastikan perlawanan seterusnya dapat ditingkatkan mengikut taktikal dan bukan mengikut kepala sendiri.

 

Ketua Jurulatih Sarawak Unuted FC (SUFC) Satiananthan R. Bashkran

Suara Sarawak