HERO BOMBA WIRA MERAH… Zaidi Mohamad Nor merakamkan foto kenangan bersama-sama Datuk Khirudin Drahman @ Hussaini di Majlis Ringkas Apresiasi Sempena Lawatan Rasmi YS Pengarah ke Balai Bomba dan Penyelamat Mukah.

MUKAH: Api seperti makanan untuk kami, selain mengekalkan disiplin yang ketat serta keikhlasan menjalankan amanah kepada masyarakat, kata Zaidi Mohamad Nor, 73 tahun.

Pesara bomba yang mungkin kurang dikenali dalam kalangan pegawai dan anggota baharu jabatan Bomba dan Penyelamat kini namun cukup dikenali masyarakat pada zaman beliau berkhidmat.

Ayah kepada lima anak dan tujuh cucu ini merupakan salah seorang hero pada zaman kegemilangannya di era 60-an.

Beliau bermula sebagai ahli bomba pada 1 Oktober 1965, dan melapor diri sebagai salah seorang wira merah di Mukah yang pada masa tersebut masih lagi di bawah pentadbiran Majlis Daerah.

Beliau sempat ditemui ketika pertemuan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Sarawak Datuk Khirudin Drahman @ Hussaini di Majlis Ringkas Apresiasi Sempena Lawatan Rasmi YS Pengarah ke Balai Bomba dan Penyelamat Mukah.

Dalam pertemuan itu beliau masih lagi kelihatan segak dengan pakaian tradisional Melanau dengan menyematkan pingat yang diperoleh sepanjang bergelar wira merah.

Beliau yang berasal dari Kampung Bunut, Mukah, menjelaskan banyak pengalaman pahit manisnya bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat sepanjang 42 tahun perkhidmatannya.

“Saya bangga dengan bomba kerana pada hari ini, bomba menjadi telah menjadi sebuah jabatan yang unggul dalam bidang penyelamatan negara,” katanya lagi.

Pada majlis ringkas tersebut, diadakan penyerahan Sijil Hero Bomba dan Alat Pemadam Api kepada empat hero bomba yang membantu memadam kebakaran di Rumah Kasit Sungai Beliuk, Balingian pada 26 Disember lepas.

Turut diberikan penghargaan ialah Pasukan Bomba Komuniti (PBS) Pekan Dalat, PBS Medong dan PBS Balingian selain Sijil Penghargaan kepada Pengerusi Pasukan Bomba Komuniti di Bahagian Mukah serta “pesara-pesara bomba.

Terdahulu Khirudin turut menggesa ketua masyarakat mengekalkan dan meningkatkan momentum yang ditunjukkan sepanjang tahun 2021 dalam membantu pihak bomba dalam apa jua perkara.

Hadir sama ialah Ketua Zon 4 JBPM Sarawak PgKB I Janggan Muling, Ketua BBP Mukah PPgB Azman Hanapis dan Penghulu Taman Ceria Dalat Sim Tan Chuan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak