ADAKAH anda yakin bahawa diri anda sudah cukup menjaga prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dengan baik semasa negara memasuki fasa peralihan ke endemik ketika ini?

Adakah kita mampu mengikuti 100 peratus apa-apa yang disarankan oleh pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)?

Tepuk dada, tanya selera.

Umum mengetahui bahawa Malaysia telah memasuki fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu, dan ketika ini rakyat juga sedang belajar untuk hidup bersama dengan wabak Covid-19.

Namun, adakah rakyat di wilayah Sarawak ini benar-benar sudah bersedia atau mereka masih lagi ragu-ragu dengan keselamatan ketika ini?

Tidak dinafikan banyak perkara sudah mula kembali seperti biasa contohnya SOP solat berjemaah di masjid dan surau, operasi perniagaan kerana jika sebelum ini kedai 24 jam tidak boleh beroperasi dalam tempoh tersebut, tetapi ketika endemik ini mereka sudah dibenarkan beroperasi.

Peralihan itu juga bertepatan dengan ketibaan Ramadan.

Umat Islam khususnya boleh menjalankan perniagaan di bazar Ramadan atau boleh menjual makanan untuk berbuka puasa dan bersahur.

Jika dua tahun lalu, pendapatan mereka sedikit terganggu kerana tiada operasi sedemikian dibenarkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi tahun ini di Sarawak juga bazar sempena sambutan Hari Raya sudah mula dibuka.

Penjualan baju raya, keperluan untuk Hari Raya sudah mula kelihatan sejak awal Ramadan lalu.

Jadi, bagaimana dengan peranan yang boleh dimainkan oleh masyarakat untuk memastikan tiada varian atau kluster baharu wujud semasa sambutan perayaan kelak?

Masyarakat perlu sedar dalam kegembiraan kita menyambut Hari Raya, wabak Covid-19 masih lagi wujud dalam kalangan masyarakat.

Kenyataan yang perlu diterima adalah meskipun kesan varian Omicron tidak serius atau berat seperti varian yang lain sebelum ini tetapi ia tetap tercetus kerana Covid-19.

Ia juga boleh menjangkiti orang lain.

Tahun ini, kita juga tidak tahu SOP sempena sambutan Hari Raya kelak tetapi sebagai persediaan, kita perlu memahami bahawa SOP dan penjagaan kendiri adalah sangat penting.

Sememangnya, ramai yang berpandangan bahawa dijangkiti Covid-19 dengan varian Omicron tidak serius dan hanya mengalami gejala ringan seperti demam, selesema bahkan ada yang tidak bergejala.

Bagaimanapun, kita juga perlu memahami bahawa tidak semua orang akan mengalami simptom yang sama.

Sekiranya kita mempunyai pemikiran sedemikian, bagaimana pula dengan golongan berisiko yang mempunyai sejarah penyakit atau komorbiditi?

Tedapat juga kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan ketika ini meskipun angkanya sedikit.

Justeru, kita perlu sentiasa menjaga kebersihan diri. Mungkin antibodi kita kuat dan sukar dijangkiti wabak. Perkara ini tidak dinafikan, tetapi fikirlah orang di sekeliling kita terutama sekali golongan berisiko.

Ketika sambutan Ramadan kali ini juga, kita menyaksikan kesesakan tempat, jadi jika boleh kita teruskan mempraktikkan amalan baik seperti mengelak tempat sesak, tidak keluar rumah jika tiada urusan penting, kuarantin kendiri sekiranya bergejala dan membuat laporan di MySejahtera sekiranya kita positif.

Perkara kecil yang kita lakukan juga mampu membantu mencegah penularan Covid-19 khususnya dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan di pejabat.

Jika kita mempunyai gejala, seelok-eloknya jangan keluar dan terus kuarantin di bilik dan lakukan ujian kendiri menggunakan kit ujian.

Ini kerana jika tidak melakukan ujian tersebut, kita tidak tahu sama ada kita sihat atau tidak dan kita juga mempunyai risiko menjangkiti orang lain.

Dalam kehidupan bersama wabak ini juga, kita tidak boleh menjadi orang yang mementingkan diri terutama sekali jika kita bergejala.

Lakukan yang terbaik supaya tidak memberikan kesan kepada orang di sekeliling.

Dalam hal berkaitan, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini juga telah mengingatkan orang ramai bahawa negara kini hanya berada dalam fasa peralihan ke endemik, dan belum lagi memasuki fasa endemik.

Disebabkan perkara tersebut juga, SOP yang ditetapkan sebelum ini masih perlu diamalkan bagi memastikan Malaysia dapat beralih ke fasa berikutnya dengan lebih selamat.

Menurutnya, semasa fasa peralihan ke endemik, masyarakat perlu belajar untuk hidup bersama Covid-19 dalam keadaan paling kurang mengganggu kehidupan harian dengan mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat.

Pada masa yang sama, pengurusan pandemik Covid-19 perlu beralih daripada kebergantungan kepada intervensi kerajaan seperti SOP dan undang undang kepada keprihatinan kerajaan, tanggungjawab individu, dan solidariti komuniti.

Tidak cukup dengan itu, rakyat di wilayah Sarawak juga dinasihati agar tidak leka dan terus mematuhi SOP berkaitan Covid-19 sepanjang Ramadan ini.

Perkara tersebut juga telah diingatkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Katanya, pematuhan SOP itu sangat penting terutamanya ketika negara kini sedang memasuki fasa peralihan ke endemik.

Kita sudah masuk fasa peralihan endemik dan kini ada sedikit kelonggaran SOP seperti di bazar Ramadan yang kita lihat ramai orang pergi. Dalam kelonggaran SOP ini, saya nasihati supaya kita kekal jaga SOP dan kesihatan kita.

Meskipun kita perlu belajar hidup bersama wabak tetapi kebimbangan dalam kalangan pemimpin tetap kelihatan kerana kesihatan dan keselamatan merupakan perkara yang penting untuk semua.

Seperti yang kita tahu juga, Covid-19 ini meruapkan satu perkara yang di luar jangkaan semua.

Pernah suatu ketika Sarawak merekodkan sifar kes dalam beberapa tempoh tetapi apabila tercetusnya kluster baharu, ia terus mengalami peningkatan mendadak.

Sudah pasti kita tidak ingin perkara sedemikian berulang lagi.

Disebabkan itu pentingnya kita mendapatkan vaksin atau dos penggalak Covid-19 kerana setidak-tidaknya kita mempunyai perlindungan diri.

Jangan pandang ringan mengenai perkara sebegini. Ia memang usaha kecil pada pandangan kita tetapi memang memberikan banyak manfaat sekiranya kita dijangkiti.

Setidak-tidaknya, kita hanya mengalami gejala ringan dan tidak mengalami kesan yang serius.

Kita juga boleh mengurangkan risiko lain yang tidak diingini.

Jadi, ikutilah saranan kerajaan kerana mereka tidak akan melakukan sesuatu jika ia membahayakan keselamatan rakyat.

Kesimpulannya, semua perkara dalam fasa perakihan ke endemik ini adalah terpulang kepada diri kita sendiri sama ada ingin memberikan kerjasama yang baik atau sebaliknya.

Risiko juga bergantung kepada diri kita sendiri kerana semua saranan telah diberikan — jadi ia adalah pilihan diri sendiri.

Bagaimana kita hidup dalam pandemik terpulang pada diri sendiri. Tanya diri, apakah yang anda akan lakukan semasa tempoh peralihan ke fasa endemik ini?

Suara Sarawak