MIRI: Selain menggunakan kayu belian, pelbagai faktor juga diambil kira dalam menentukan kos pembinaan jeti Kampung Mutap, Bekenu yang menelan kos RM50,000.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri berkata antara faktor yang diambil kira ialah keadaan laluan (jalan ladang) ke Kampung Mutap, logistik serta langkah keselamatan memandangkan kawasan itu dipenuhi buaya.

Manakala kayu belian yang digunakan ialah RM9,000 semeter kiub, lebih rendah daripada kadar harga pasaran.

“Dengan bajet RM50,000, JKR Sarawak berjaya mereka bentuk jeti sepanjang 15 meter itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jeti Kampung Mutap yang disiapkan dengan kos RM50,000 dan disifatkan oleh netizen sebagai tidak wajar.

Ia bagi menjelaskan mengenai dakwaan netizen di laman sosial bahawa kos RM50,000 bagi pembinaan jeti itu adalah tidak wajar.

Menjelas lanjut mengenai projek berkenaan, JKR Bahagian Miri berkata pembinaan jeti itu pada mulanya dicadangkan mengguna keluli tetapi disebabkan kos yang terlalu tinggi, Ketua Kampung Mutap Sediah Abdullah menolak cadangan itu dan memilih jeti belian sebagai ganti.

Tambahnya memandangkan kekangan bajet, Ketua Kampung hendaklah meminta dana tambahan daripada wakil rakyat mereka untuk melaksanakan fasa dua jeti berkenaan.

“Semasa lawatan tapak, Ketua Kampung juga memaklumkan bahawa sungai itu dipenuhi buaya dan kontraktor yang dilantik hendaklah mengambil langkah berjaga-jaga apabila melaksanakan kerja-kerja pada masa yang sepatutnya.

“Kebimbangan lain termasuk hakikat bahawa akses jalan ke Kampung Mutap adalah jalan ladang yang amat membebankan,” katanya.

JKR Bahagian Miri juga berkata cabut undi bagi projek itu dibuat pada 30 November 2021 di Pejabat Residen Miri dan kontraktor yang dipilih ialah Syarikat Bukit Balat.

Katanya kontrak itu kemudian diberi dan dimulakan pada 7 Mac 2022 dengan tarikh siap dijadualkan pada 6 Jun 2022.

“Projek jeti itu berjaya disiapkan pada 6 April 2022 dan pemeriksaan tapak terakhir dilaksanakan secara bersama oleh JKR Bahagian Miri, Ketua Kampung dan kontraktor.

“Kerja-kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor dianggap memuaskan, oleh itu, jeti kayu belian kemudiannya diserahkan kepada ketua kampung,” katanya.

Suara Sarawak