ALEXANDER NANTA LINGGI

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mempergiatkan penguatkuasaan bagi memastikan tiada kenderaan bernombor pendaftaran asing termasuk motosikal mengisi minyak petrol RON95 di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberitahu, ia susulan terdapat dakwaan orang ramai dan media mengenai kenderaan asing mengisi minyak tersebut terutamanya di stesen minyak sempadan negara.

“Susulan pembukaan pintu sempadan sejak 1 April lalu, negara menerima kemasukan kenderaan yang banyak dari pelbagai negara.

“Justeru, bagi membendung perkara ini daripada terus berlaku, KPDNHEP mempergiatkan penguatkuasaan.

“Seramai 2,200 pegawai penguat kuasa KPDNHEP digerakkan bagi melaksanakan pemeriksaan dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara, terutama individu dan pengusaha stesen minyak yang cuba melanggar perundangan berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi menambah keberkesanan penguatkuasaan jelasnya, pegawai-pegawai penguat kuasa kementerian akan menggunakan pendekatan Ops Samar dengan memakai pakaian preman (tidak memakai pakaian seragam).

Suara Sarawak