BERCAKAP…Fatimah berucap dalam sidang media di bilik mesyuarat KPWK

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti menyasarkan lebih 90 peratus kumpulan sasaran menerima bantuan susulan Sarawak beralih ke fasa endemik.

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sebuah bengkel kajian telah dilaksanakan pada 17 dan 18 Mac lalu bagi menambah baik polisi dan prosedur semasa.

“Ia dilaksanakan supaya pelaksanaan pemberian inisiatif itu dapat dilaksanakan secara lebih sistematik dan berkesan.

“Tiga aspek utama yang dibincangkan semasa bengkel tersebut merangkumi capaian peningkatan penerima bantuan, memupuk kesedaran dalam kalangan kumpulan sasar, proses kerja meliputi masa penambahbaikan sesebuah agensi dan permohonan dapat dipercepatkan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Baitulmakmur 2, di sini, hari ini.

Menjelas lanjut kata Fatimah, Petunjuk Prestasi utama (KPI) kementerian adalah untuk memastikan penerima bantuan tersebut mencapai 90 peratus ke atas.

“Kita perlu sedar ada di antara mereka tidak mahu memohon tapi itu tidak mengapa, apa yang kita mahukan adalah untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukannya tetapi tidak mempunyai maklumat berkaitan.

“Kita mahu pastikan maklumat sampai kepada kumpulan sasaran, tidak kira dari segi publisiti, pemahaman dan kemudahan permohonan, bantuan dapat dipercepatkan dari segi kelulusan.

“Dari segi kecepatan mendapat perkhidmatan itu mesti ditingkatkan di mana hasil kelemahan yang telah dikenal pasti dalam bengkel perlu diperbaiki dan tempoh masa untuk memperbaiki dah diberi masa kepada setiap agensi dan jabatan bertanggungjawab,” jelasnya lagi.

Antara inisiatif telah dinilai semula dan ditambah baik meliputi Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Pembiayaan Caruman Minimum I-Suri, Endowment Fund Sarawak (EFS), Geran Tahunan Khas (GTK) -Institut Pendidikan Awal Kanak-kanak (IPAKK), Kenyalang Gold Card (KGC), Bantuan Ikhsan Kematian (BIK), Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BPBP), Bantuan Perubatan, Geran Sukan OKU, dan Geran Pemerkasaan NGO.

Suara Sarawak