KUCHING: Seorang kru bot dilaporkan jatuh ke dalam laut di sekitar perairan Pulau Burong, Sebuyau semalam.

Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata Pusat Operasi Maritim Sarawak menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 12 tengah dari seorang pengadu memaklumkan seorang lelaki disyaki jatuh ke dalam laut kira-kira jam 6.30 pagi.

Katanya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pada jam 12.05 tengah hari semalam.

“Mangsa dikenali Francis Awi, 39, lelaki Iban, pakaian terakhir mangsa baju kelabu lengan panjang dan seluar panjang kelabu.

“Sejurus menerima laporam tersebut, MRSC Kuching telah mengatur gerakkan Bot KILAT 22 ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Jeti Awam Sebuyau dan MRSC Kuching turut memaklumkan kejadian kepada agensi lain serta menyalurkan maklumat kepada persatuan nelayan berhampiran.

Dalam pada itu, katanya, sekitar jam 12.50 tengah hari semalam, satu lagi kejadian melibatkan bot nelayan dikhuatiri tenggelam bersama empat orang kru di perairan Tanjung Po, di sini.

“MRSC Kuching menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 sekitar sekitar 12.50 tengah hari semalam dan menurut pengadu, kesemua mangsa memakai jaket keselamatan.

“Sejurus menerima panggilan tersebut, MRSC Kuching telah mengaktifkan Op Carilamat dan aset Maritim Malaysia KILAT 22 telah diatur gerakkan ke lokasi,” jelasnya.

Zin Azman berkata, kesemua mangsa telah berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan dan terus dibawa ke Kampung Geobilt, di sini.

Katanya, Op carilamat bagi bot tenggelam di Tanjung Po telah ditamatkan pada 2.45 petang semalam.

Manakala, beliau berkata, pencarian bagi mencari dan menyelamat mangsa disyaki jatuh laut di perairan Pulau Burong, lebih kurang 10 batu nautika dari Sebuyau, diteruskan dan memasuki hari kedua.

“Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar pastikan bot dalam keadaan baik dan batalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk.

“Sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan bawa bersama peranti Personel Located Beacon (PLB) untuk memudahkan pasukan penyelamat terus ke lokasi kecemasan,” katanya.

Beliau berkata Maritim Malaysia  sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544/ 432016 atau MERS 999.

 

Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Jeti Awam Sebuyau untuk Op Carilamat kru bot jatuh laut di sekitar perairan Pulau Burong.
Kru bot kapal tenggelam di perairan Tanjung Po diselamatkan oleh bot nelayan tempatan dan terus dibawa ke Kampung Geobilt.

Suara Sarawak