Roland Sagah pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Pelan Induk Ke-4 dan Ke-5 Pusat Sains Sarawak di Kuching, hari ini.

KUCHING: Pembangunan Pusat Sains Sarawak bakal menjadikan rakyat negeri ini menguasai bidang sains dan teknologi setanding dengan kuasa besar dunia.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, pusat baharu tersebut akan memainkan peranan penting dalam menyediakan platform pembelajaran tidak formal dan memupuk literasi saintifik dalam kalangan masyarakat.

“Ia juga akan menyediakan pelajar dan orang ramai dengan pameran interaktif yang menyeronokkan disamping merasai pembelajaran kinestetik melalui penerokaan aktiviti fizikal, daripada hanya mendengar kuliah atau menonton demonstrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Pelan Induk Ke-4 dan Ke-5 Pusat Sains Sarawak anjuran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pusat Sains Singapura di sini, hari ini.

“Penguasaan dalam bidang tersebut amat penting kerana ia berkait rapat dengan aktiviti kehidupan seharian.

“Ini bermaksud platform pembelajaran tidak formal seperti pusat sains mesti diwujudkan untuk mencapai literasi saintifik sivik,” jelasnya.

Sementara mengulas mengenai bengkel yang pertama kali dianjurkan secara bersemuka itu, beliau memberitahu ia akan menjadi platform ideal untuk semua pihak berkepentingan meneroka cara bagi membangunkan pengalaman serta program pembelajaran yang berkesan dan unik untuk pusat baharu itu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dr Annuar Rapaie; Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Kameri Affendi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains Singapura Dr. Lim Tit Meng.

Suara Sarawak