LUNDU: Lapan pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia ditahan dalam serbuan ketika cuba menyusup keluar dari negara melalui sempadan Malaysia-Indonesia, di sini hari ini.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, lapan individu berkenaan ditahan kira-kira jam 7 pagi ketika anggota sedang melaksanakan penugasan.

Katanya, anggota telah melihat sebuah kenderaan pelbagai guna bersama dua buah motosikal mencurigakan sedang melalui jalan utama di kawasan Ladang Sawit Sektor Pos Kandaie, kira-kira 50 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiga pemandu kenderaan tersebut membawa lima Pati untuk pulang ke Indonesia.

“Mereka ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen lintas batas yang sah dan juga memiliki pasport yang telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua individu ditahan terdiri daripada seorang wanita dan tujuh lelaki berumur 17 hingga 43 tahun.

Katanya, kenderaan yang digunakan untuk menyusup keluar berserta dua laras senapang angin, dua bilah parang, sebuah tabung untuk memproses dadah jenis syabu, telefon bimbit dan wang tunai turut dirampas.

Jelasnya, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM50,000.

“Kesemua individu tersebut bersama barangan rampasan telah diserahkan kepada pihak polis dan laporan telah dibuat di Balai Polis Lundu,” katanya.

Lapan Pati Indonesia ditahan anggota tentera 1 Divisyen ketika cuba menyusup keluar melalui jalan utama di kawasan Ladang Sawit Sektor Pos Kandaie, kira-kira 50 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.

Suara Sarawak