KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana memecahkan cermin kereta milik ibu bekas kekasihnya dengan membaling menggunakan batu bata.

Tertuduh Norewan , 35, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Zaiton Anuar menetapkan hukuman penjara lima bulan terhadap tertuduh sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan,dia sengaja melakukan khianat memecahkan cermin belakang bonet kereta milik wanita berusia 49 tahun itu hingga menyebabkan kerugian RM650.

Dia melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Matang Jaya, di sini, kira-kira jam 11.50 malam, 14 April lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, pengadu yang berada di ruang tamu terdengar bunyi hentakan di luar kawasan rumah bapa pengadu.

Pengadu terus membuka pintu secara kebetulan adik pengadu berada di hadapan rumah berpagar, melihat seorang lelaki yang dikenali(tertuduh) telah membaling batu bata ke arah kereta milik ibu mereka hingga menyebabkan cermin belakang bonet pecah.

Lelaki tersebut merupakan jiran sama taman perumahan kemudian melarikan diri selepas memecahkan cermin tersebut.

Selain itu, tertuduh juga sering menganggu ahli keluarga pengadu dan pernah membuat laporan polis sebelum ini.

Akibat kejadian itu, pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan serta siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh.

Difahamkan, tertuduh dan pengadu pernah bercinta dan telah putus sejak sepuluh tahun yang lalu.

Tertuduh yang tidak puas hati kerana putus cinta sering menganggu pengadu dan ahli keluarga pengadu.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak