KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.49 gram.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Mohamad Isburhani Juma, 42, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di Bangunan Taman Sri Sarawak, di sini, kira-kira jam 12.10 tengah hari, 6 Februari lalu.

Oleh itu, dia didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 12(3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching telah membuat satu serbuan di bilik bangunan tersebut kerana disyaki terdapat kegiatan dadah.

Hasil pemeriksaan terhadap tertuduh menemui satu paket plastik lutsinar dan satu keratan tiub straw berisi ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu di dalam poket hadapan seluar tertuduh.

Tertuduh kemudian ditahan dan dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching untuk siasatan serta menjalani saringan awal air kencing.

Saringan awal air kencing tertuduh mendapati positif dadah.

Justeru itu, dia berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dihukum di bawah Seksyen 15(1) Akta sama kerana mengambil dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Dia melakukan kesalahan itu di BSJN IPD Kuching, kira-kira jam 1.25 petang, 6 Februari lepas.

Majistret Syarifah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan dua tahun pengawasan polis.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan bermula hari ini.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak