SERIAN: Lelaki yang dilaporkan hilang di hutan Kampung Pridan, Jalan Mentong Merau di sini sejak kelmarin ditemui selamat semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata pasukan SAR menerima maklukat dari pihak polis bahawa
mangsa, James Ringen, 59, ditemui kira-kira jam 5.50 petang di fasa 7, kawasan ladang kelapa sawit.

“Mangsa terus dihantar ke Hospital Serian untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, PGO menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 9.40 pagi semalam.

Mangsa dikatakan tidak balik dari kelmarin setelah bermalam di pondok kebunnya.

“Status mangsa ketika itu berbaju T merah, seluar hitam paras lutut dan hanya berselipar.

“Mangsa tiada simpton nyanyuk, sihat dan cuma lemah pada bahagian kaki,” katanya.

Sejurus itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian serta unit anjing pengesan digerakkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, operasi pencarian dibahagikan kepada tiga kumpulan ke kawasan laluan ladang sawit kepunyaan mangsa, dan sekitar ladang lain.

Jelasnya, pencarian merangkumi radius dua kilometer tetapi tiada tanda petunjuk mangsa dijumpai dan operasi ditangguh.

Setelah mangsa ditemui, operasi SAR ditamatkan pada jam 7 malam.

Mangsa dibawa ke Hospital Serian untuk pemeriksaan lanjut.

Suara Sarawak