KUCHING: Seorang pemuda tempatan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki dadah jenis Ketamine seberat 8.31 gram.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Richard Lau Lik Chai, 22, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Lorong Datuk Stephen Yong 2J, di sini, kira-kira jam 11.15 malam pada 27 Januari lalu.

Oleh itu, dia didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 12(3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, dia berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dihukum di bawah Seksyen 15(1) Akta sama kerana memasukan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam badannya sendiri.

Dia melakukan kesalahan itu di BSJN IPD Padawan, kira-kira jam 1.20 pagi, 28 Februari lepas.

Majistret Syarifah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan dua tahun pengawasan polis.

Saringan awal air kencing tertuduh mendapati positif dadah.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan bermula dari tarikh tangkap 27 Januari lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak