KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, kerana menyeludup masuk tiga orang migran Indonesia ke negara ini, Jun tahun lalu.

Phill Baxter Wilson Thomas, 38, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Alwi Abdul Wahab.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengangkut tiga orang migran menggunakan sebuah kereta jenis Produa Bezza di Taman Rekreasi, Serian, sekitar jam 11.00 pagi, pada 3 Jun 2021.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, sepasukan polis dari Pasukan Gerakan Am Skuadron Perisai 11 dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Serian telah melakukan sekatan jalan raya Ops Benteng Covid-19 di Jalan Serian-Tebedu telah menahan sebuah kereta.

Hasil pemeriksaan, lelaki warga tempatan (tertuduh) itu dipercayai membawa tiga orang warga Indonesia masuk ke negara ini melalui Tebedu, Sarawak.

Siasatan lanjut mendapati kesemua migran berkenaan menyatakan bahawa kenderaan yang dipandu tertuduh telah menunggu di jalan tikus untuk membawa mereka masuk ke negeri ini.

Selain itu, hasil semakan juga mendapati kenderaan terbabit adalah milik isteri tertuduh.

Jabatan Imigresen Malaysia turut mendedahkan tiada rekod kemasukan terbaharu ke Malaysia bagi setiap migran bernama Mohamad Tohir, Romaili dan Misdar terbabit.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Migran: tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi oleh anggota polis.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak