SERIAN: Lelaki yang ditemui tersangkut pada pelantar transformer Kampung Semukoi A, Tiang No 99, Jalan Balai Ringin, di sini hari ini dipercayai meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik.

Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata kejadian dilaporkan kira-kira jam 9.13 pagi oleh juruteknik Sesco yang menemui mangsa.

Katanya, pihak polis tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa, warga tempatan berpakaian seluar jean biru dan baju berwarna hijau terbaring pada pelantar transformer tersebut.

“Siasatan awal menunjukkan tiada sebarang kejadian jenayah yang berlaku di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aswandy menambah mangsa dipercayai telah menceroboh kawasan transformer berkenaan berdasarkan penemuan peralatan seperti pemutar skru, gergaji dan spana.

Beliau berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai bersama mayat mangsa.

“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Serian untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga diminta tampil ke Balai Polis Serian untuk pengecaman mayat mangsa.

 

Mayat mangsa dibawa turun oleh anggota polis dan bomba.

 

Mayat mangsa ditemui terbaring pada pelantar transformer Kampung Semukoi A, Jalan Balai Ringin, di sini hari ini.

Suara Sarawak