RAI JARINGAN….Pemain import KC FC, Yuki Tanigawa (dua dari kanan) bersama rakan yang lain meraikan jaringan.

KUCHING: Skuad Kuching City FC (KC FC) berjaya meraih kemenangan kedua dalam kempen Liga Premier 2022 selepas membelasah Skuad Projek FAM-MSN (4-0) pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya malam tadi.

Himpunan gol The City Boys dijaringkan oleh Abu Kamara minit ke-23, Shafizi Iqmal Md Khirudin minit ke-34, Yuki Tanigawa minit ke-74 dan Wan Mohammad Faiz Wan Sulaiman minit ke-80.

Anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim boleh melepasi defisit gol yang ada mengambil kira hampir sepuluh peluang yang dimiliki jentera serangan.

Babak pertama memperlihatkan lima peluang terbaik dimiliki masing-masing menerusi Mohamad Alif Hassan, Abu Kamara dan Shafizi Iqmal Md Khirudin.

Situasi hampir sama berlaku pada babak kedua yang turut memperlihatkan pentas saingan dikuasai sepenuhnya pemain KC FC.

Meskipun, sesekali barisan pemain skuad pembangunan dua badan induk (FAM-MSN) turut mencemas pintu gol pasukan tuan rumah menerusi serangan balas yang dilancar.

Apa yang pasti, kemenangan kedua KC FC itu berjaya merealisasi misi untuk beroleh tiga mata berharga.

Ia sekali gus meletakkan mereka di kedudukan keempat ketika ini dengan 6 mata selepas mengharungi tiga perlawanan.

Perlawanan selepas ini, KC FC akan menentang PDRM di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 28 April ini.

Suara Sarawak