KUCHING: Skuad Kuching City FC (KC FC) gagal dalam usaha mencetak kemenangan ketiga dalam kempen Liga Premier 2022.

Ia setelah anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim sekadar berpuas hati dengan keputusan seri (2-2) menentang PDRM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Jaringan gol penyamaan Muhammad Azrie Reza Zamri minit ke-90 (+1) menerusi sepakan penalti menghambat keinginan The City Boys untuk pulang dengan tiga mata.

Ia meskipun dua kali KC FC memimpin perlawanan menerusi gol Abu Kamara pada minit ke-10 dan Aylton Ferreira Ananias minit ke-84.

Satu lagi gol PDRM FC dijaringkan oleh Martin Adamec pada minit ke-22.

Keputusan tersebut menyaksikan KC FC mengumpul tujuh mata selepas mengharungi empat perlawanan.

LEPAS…Penyerang import KC FC, Abu Kamara (kanan) cuba meloloskan diri dari kepungan pemain PDRM FC.

Suara Sarawak