KUCHING: Persatuan Bola Sepak Bahagian Serian (SFA) mengambil langkah drastik dengan menswastakan penganjuran Liga Serian 2022 sebagai usaha meningkatkan pembangunan sukan bola sepak di kawasan.

Presiden SFA, Phillip Jabu menegaskan, pendekatan tersebut bertujuan agar penganjuran liga kali ini lebih komprehensif.

“Menerusi mesyuarat bersama barisan Exco SFA baru-baru ini telah bersetuju untuk menswastakan penganjuran Liga Serian 2022,” ujar Phillip kepada Arena Suara Sarawak.

Menurutnya, tiada perbezaan ketara berlaku dalam penganjuran liga kali ini yang menawarkan wang tunai keseluruhan sebanyak RM20,000.

“Cuma ia diurus oleh satu badan khas seperti yang dilakukan terhadap Liga Malaysia ketika ini,” ujarnya.

Tegas Phillip, liga terbabit akan bermula pada 14 Mei depan dengan menghimpunkan 32 pasukan dan dibahagikan kepada empat zon iaitu Zon Serian, Zon Tebedu, Zon Siburan dan Zon Balai Ringin.

“Setiap zon menghimpunkan lapan pasukan. Dua pasukan yang berjaya ke perlawanan akhir akan layak secara automatik bagi berentap merebut kejuaraan pada pusingan akhir,” tegasnya lagi.

Sambil menyatakan, hadiah wang tunai untuk juara dan naib juara peringkat zon ialah RM300 dan RM250.

Manakala hadiah wang tunai RM200 dan RM150 untuk pemain terbaik sepanjang liga, pemain terbaik perlawanan akhir, penjaga gol terbaik, penjaring terbanyak dan pemain harapan.

Berbanding hadiah berupa piala bagi pasukan terbaik.

Dalam pada itu, juara pada pusingan akhir bakal membawa pulang RM5, 000, naib juara pula akan menerima wang tunai RM3,000, manakala RM1,000, untuk dua pasukan yang tewas diperingkat separuh akhir selaku pemenang tempat ketiga bersama.

“Beberapa gelanggang seperti padang bola sepak Tebakang, Kompleks Sukan Serian, Kompleks Sukan Siburan dan Kompleks Sukan Terbedu akan digunakan sepanjang penganjuran kali ini,” jelasnya lagi.

PAMER….Phillip Jabu mempamer risalah kejohanan tersebut.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak