KUCHING: Kegelisahan berganda dialami pengemudi Sarawak United FC (SU FC) B. Sathiananthan dalam menyediakan barisan terbaik untuk perlawanan menentang PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu ini.

Dengan ketiadaan dua pemain import, Uche Agba dan Stuart James Wilson Wark yang dibelenggu kecederaan, sekali gus menyaksikan SU FC tidak dapat menggunakan kudrat lima pemain utama termasuk Lee Chang Hoon, Boris Kok dan Norman Angkun.

Meskipun, ketiga-tiga pemain itu baharu sahaja selesai menjalani proses kuarantin kendiri di rumah.

“Uche Agba dan Stuart James Wilson Wark dibelenggu kecederaan semasa menentang Terengganu FC hujung minggu lalu.

“Manakala Lee Chang Hoon, Boris Kok dan Norman Angkun belum cergas sepenuhnya dan saya terpaksa mengenepikan mereka,” ujar Sathiananthan kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut bekas pengemudi skuad kebangsaan itu, beliau akan menggunakan khidmat pemain simpanan yang ada untuk mengatasi masalah tersebut.

“Walaupun amat berat situasi yang bakal dilalui. Saya masih menaruh harapan yang tinggi terhadap keupayaan pemain yang ada,” tambah beliau lagi.

Malah Sathiananthan mencabar barisan pemain simpanan yang akan diturunkan pada perlawanan itu kelak untuk membuktikan keupayaan sebenar mereka.

Skuad SU FC kini kekal berada ditangga tercorot dengan menggumpul satu mata selepas mengharungi lima perlawanan setakat ini.

CEDERA…Uche Agba terpaksa diketepikan kerana kecederaan.

Suara Sarawak