
KUCHING: Sarawak United FC (SU FC) nyaris berputih mata ketika menentang Penang FC selepas hanya mampu mencatat keputusan seri (1-1) di Stadium Negeri, Petra Jaya malam tadi.
Bintang kacukan Kemboja/Perancis, Boris Kok menjadi penyelamat barisan kendalian B.Sathianathan dari terus dimamah musibah kekalahan apabila jaringan penyamaan dilakukannya minit ke-83 memuktamad perolehan satu mata berharga dari perlawanan tersebut.
Dalam keadaan pasukan pelawat yang terdahulu di depan menerusi gol yang dijaringkan oleh Anselmo Arruda Da Silva minit ke-73, SU FC yang turun dengan misi mahu meraih kemenangan pada perlawanan tersebut nyata diberi tentangan sengit barisan pemain pasukan pelawat sepanjang saingan.
Aksi seimbang diperaga pemain kedua-dua pasukan.
Malah dari segi peluang untuk menambah jaringan juga seimbang.
Cuma sentuhan penyudah kurang berkesan menyaksikan kedua-dua pasukan berpuas hati dengan berkongsi satu mata.