KUCHING: Tugas getir menanti pemain Sarawak United FC (SU FC) dalam usaha mencetak kemenangan tatkala turun melayani kunjungan Terengganu FC di Stadium Negeri, Petra Jaya malam esok.

Ia berikutan ketiadaan empat pemain utama iaitu Lee Chang Hoon, Norman Angkun, Francis Kone dan Stuart James Wilson Wark.

Ketua Juratih SU FC, B. Sathiananthan memberitahu, kesemua pemain terbabit terpaksa diketepikan untuk perlawanan tersebut kerana ada yang positif Covid-19 selain dibelenggu kecederaan.

“Norman Angkun dan Lee Chang Hoon disahkan positif Covid-19 beberapa hari lepas.

“Manakala Francis Kone dan Stuart James Wilson Wark masih cedera,” ujar Sathiananthan kepada Arena Suara Sarawak.

Katanya, walaupun tekanan awal dihadapi dalam mencongak barisan kesebelasan utama bagi menghadapi gelora dari wakil pantai timur itu.

Bekas pengemudi skuad kebangsaan itu masih optimis akan keupayaan pemain kendaliannya untuk membuat kejutan.

“Saya percaya pemain simpanan yang ada mampu menggalas tugas dengan sebaik.

“Inilah masa mereka membuktikan kemampuan sebenar sekali gus berusaha membantu pasukan untuk meraih kemenangan sulung yang diidamkan,” tambah Sathiananthan lagi.

TERUS JADI SANDARAN….Sathiananthan memerhati kelibat penggempur utama SU FC, Uche Agba ketika latihan.

Suara Sarawak