Lima kematian baharu akibat Covid-19 di Sarawak

KUCHING: Lima kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan di Sarawak, melibatkan sebilangan besar warga emas.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan hari ini berkata satu kes kematian direkodkan di Kuching pada 31 Mac lalu, melibatkan lelaki berusia 86 tahun di Hospital Umum Sarawak (HUS) yang turut menghidap penyakit kencing manis.

Manakala empat kes direkodkan pada 5 April lalu, iaitu dua di Kuching dan satu masing-masing di Serian dan Bintulu.

Katanya kes di Kuching dan Serian melibatkan lelaki berusia 47, 76 dan 60 tahun yang meninggal dunia di HUS dan turut mempunyai penyakit darah tinggi serta kencing manis.

Kes di Bintulu pula membabitkan wanita berusia 75 tahun, yang meninggal dunia di Hospital Bintulu dan turut mempunyai penyakit paru-paru kronik obstruktif.

Sementara, JPBN mengisytiharkan Kluster Tebingan Sungai Kuching ditamatkan, menjadikan tinggal lima lagi kluster masih aktif.

Dalam pada itu, sebanyak 413 kes positif baharu dikesan dan Kuching mencatatkan bilangan kes tertinggi sebanyak 131 kes.

Kes kedua tertinggi di Miri sebanyak 54 kes diikuti Bintulu (50), Sibu (43), Samarahan (24), Sri Aman (11), Sarikei (10), Bau (10), Serian (9), Betong (9), Tatau (7), Mukah (5), Dalat (5) dan Kapit (5).

Selain itu Limbang, Lundu, Lawas, Asajaya dan Matu masing-masing empat kes, Pusa (3), Simunjan (3), Tebedu (2), Lubok Antu (2), Pakan (2) Meradong (2), Subis (2), Kanowit (1), Saratok (1), Beluru (1) dan Marudi (1).

Suara Sarawak