SARIKEI: Seorang lelaki tersepit lebih sejam selepas lori yang dipandunya terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Selalang di sini, hari ini.

Mangsa berusia 30 tahun dilaporkan selamat dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 9.57 pagi.

“Setibanya di lokasi, kita mendapati mangsa masih tersepit di antara papan pemuka dan tempat duduk pemandu di dalam lori itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahmudin berkata, anggotanya mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan ‘Res q Tech’ dan penarik dari jentera untuk membuka ruang untuk mengeluarkan mangsa dari ruang berkenaan.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan akhirnya berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak ambulan untuk rawatan susulan.

“Operasi berakhir pada 11.04 pagi, kita juga melakukan pemantauan susulan bagi memastikan kawasan kejadian benar- benar selamat,” katanya.

Mahmudin berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan menghala ke Sarikei sebelum kenderaan yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam lori.

Suara Sarawak