KUCHING: Dua sahabat baik masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melupuskan harta curi.

Tertuduh Syah, 27, dan Asadur, 30, masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara bersama oleh jurubahasa di hadapan Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa sengaja melupuskan harta curi iaitu sebuah motosikal jenama Modenas Kriss milik Mohd Idzhar, 36, di sebuah bengkel di Kampung Segedup Rimba, Jalan Batu Kawa, di sini, kira-kira jam 2.50 petang, 15 Mac lalu.

Menurut fakta kes, pengadu pergi ke sebuah tempat letak kereta di deretan Aeon Corner di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce mendapati bahawa motosikal miliknya telah hilang, membabitkan kerugian berjumlah RM2,500.

Pada 15 Mac lalu, sekitar jam 2.50 petang, berpandukan tertuduh pertama Syah Rizmanie sepasukan polis telah pergi ke sebuah bengkel di Kampung Segedup Rimba dan hasil pemeriksaan telah menjumpai kompenen kenderaan yang telah dileraikan beserta satu unit rangka motosikal.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak