BINTULU: Pencerobohan perairan negara oleh empat bot nelayan Vietnam berjaya ditumpaskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, jumlah tangkapan itu melibatkan rampasan keseluruhan bernilai RM2 juta.

Pada 8 April lalu katanya, anggota penguatkuasa Maritim Bintulu berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam bersama enam kru dengan nilai tangkapan sebanyak RM500,000.

Manakala bagi tangkapan terbaharu pada Khamis lalu, ia membabitkan tiga bot nelayan asing Vietnam bersama 32 kru termasuk tiga tekong berumur antara 24 hingga 55 tahun.

Beliau berkata pencerobohan terbaharu itu berjaya dikesan pada kedudukan 193 batu nautika dari utara Pelabuhan Bintulu, sekitar jam 1.30 pagi.

“Pasukan penguatkuasa Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu juga berjaya merampas hasil tangkapan laut, bekalan diesel 2,000 liter dan peralatan menangkap ikan berjumlah keseluruhan RM1.5 juta.

“Pemeriksaan terhadap kesemua 32 kru termasuk tiga tekong itu mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan yang sah selain tidak mempunyai lesen untuk memungut hasil laut di perairan negara (ini),” katanya dalam sidang media di Pejabat Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu, petang tadi.

Sehubungan itu beliau menegaskan pihaknya akan sentiasa berusaha meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan operasi penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan keselamatan kapal dan bot yang berada di perairan negara terjamin dan mematuhi undang-undang.

Effendi (tengah) pada sidang media berhubung tangkapan tiga bot nelayan Vietnam di Bintulu.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak