SIBU: Kelab Sape Dayak Sibu (KSDS) merakamkan setinggitinggi penghargaan kepada Adun Dudong Datuk Seri Tiong King Sing atas kesudiannya membantu melancarkan aktiviti kelab tersebut pada masa akan datang.

Pengerusinya Anthony Abong ketika dihubungi semalam berkata, selain memberi jaminan kepada KSDS bagi perkara itu, Tiong juga katanya, turut mengagihkan peruntukan RM5,000 kepada kelabnya.

“Ini diumumkannya menerusi wakilnya yang juga Pengerusi PDP Bahagian Dudong Kaunselor Teo Boon Siew yang hadir mewakilinya ketika merasmikan Bengkel Asas Pengenalan Sape yang diadakan oleh kami pada Sabtu lalu.

“Semasa merasmikan bengkel itu, beliau berjanji akan membantu KSDS mendapatkan bantuan sewajarnya pada masa akan datang untuk menggerakkan kelab ini yang dianggapnya unik,” jelas beliau.

Anthony berkata, KSDS gembira dengan perhatian yang diberikan oleh Tiong. Dalam pada itu, Tiong turut menggesa jawatankuasa dan ahli KSDS untuk terus memelihara serta memartabatkan seni bangsa khususnya sape di peringkat yang lebih tinggi lagi.

Ini kerana warisan dan budaya seperti muzik sape, jelas Ahli Parlimen Bintulu itu lagi, adalah khazanah tidak ternilai yang mesti dilindungi dan dipelihara, supaya terus menjadi kebanggaan semua.

“Ia bakal menjadi tatapan generasi seterusnya, kerana tamadun serta aspek sejarah yang lampau amat penting dalam pembentukan identiti bangsa dan negara,” ujar Tiong yang juga Duta Khas Perdana Menteri Ke China. Bengkel sehari itu itu disertai 14 peserta dari Sibu, Pakan, Sarikei dan Roban.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak