KUCHING: Masih terdapat masyarakat yang tidak peka terhadap modus operandi sindiket penipuan pembelian dalam talian (e-Dagang) meskipun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata berdasarkan laporan yang diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, ia kekal menunjukkan jumlah kes yang tinggi.

Menurutnya dalam tempoh Januari hingga 17 April ini sahaja, sebanyak 74 kes telah dilaporkan melibatkan kerugian sebanyak lebih RM1.7 juta.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dan waspada sebelum membuat apa-apa pindahan ke akaun pihak ketiga.

“Masyarakat juga harus membuat semakan terlebih dahulu nombor akaun bank penerima di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat apa-apa transaksi pembayaran kepada pihak ketiga bagi memastikan akaun tersebut tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Adalah diingatkan pihak polis tidak pernah meminta apa-apa bayaran bagi penyelesaian sesuatu kes dibayar kepada akaun individu,” katanya pada sidang media di IPD Kuching, di sini hari ini.

Ahsmon berkata tahun lepas menunjukkan peningkatan ketara apabila sebanyak 271 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian lebih RM5.9 juta.

Katanya ia ekoran pandemik Covid-19, yang mana pembeli lebih cenderung berurusan melalui medium secara dalam talian untuk urusan pembelian.

Manakala, katanya pada tahun 2000, sebanyak 90 kes dilaporkan melibatkan nilai kerugian lebih RM4.8 juta.

Justeru, katanya sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan dan mempunyai maklumat berkaitan jenayah komersial, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559.

160 kes baharu Covid-19, tiada kematian di Sarawak

Suara Sarawak