LANCAR…Tan Sri William ( empat dari kiri) bersama-sama ahli jawatankuasa penganjur Matang Warrior Trail Run 2022 selepas majlis pelancaran. Turut hadir Kapten Zainuddin Tan Sri Hamdan.

KUCHING: Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak memperkenalkan program sukan awam sulungnya, Matang Warrior Trail Run 2022.

Acara yang akan diadakan pada 31 Julai depan itu bakal berlangsung di tapak Kem Matang, yang pernah digunakan untuk penggambaran filem terkenal, Farewell to the King pada tahun 1988.

Program tersebut telah dilancarkan secara rasmi oleh Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak,Tan Sri William Mawan Ikom yang juga Adun Pakan.

Ketika berucap pada majlis pelancaran itu, Mawan berkata larian itu merupakan acara yang berkesan untuk memupuk ukhuwah dalam kalangan pengakap dengan orang ramai khususnya peminat sukan berkenaan.

“Pengakap merupakan pergerakan belia dan mempromosikannya melalui larian merupakan langkah yang baik untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai aktiviti sihat selaras dengan tagline kerajaan yang ingin mewujudkan negara sihat,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk menyertai larian terbabit disamping dapat melihat keindahanKem Matang yang terletak di kaki Gunung Serapi, Matang.

Sementara Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Lee Kong Shin berkata, larian itu menampilkan tiga kategori, iaitu satu kilometer (km) Kid Dash (12 tahun dan ke bawah), lima km Jungle Trail (13 tahun dan ke atas) serta 10 km Jungle Trail (18 tahun dan ke atas).

Beliau berkata, acara 10 km itu turut menawarkan hadiah menarik dan semua peserta layak mendapat kemeja-t larian, pingat dan jamuan ringan.

Beliau menjelaskan, hanya peserta dan individu yang telah divaksin sepenuhnya boleh mengambil bahagian dalam acara itu.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan borang pendaftaran di Ibu Pejabat Pengakap, Jalan Batu Lintang pada waktu pejabat atau secara dalam talian daripada Telegram Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak.

Borang pendaftaran yang lengkap dan slip pembayaran ke akaun Majlis Pengakap Sarawak CIMB 8005064120 boleh dihantar sendiri ke Ibu Pejabat Pengakap, difakskan ke 082-251816, e-mel ke ppmsarawak@gmail.com atau whatsapp kepada Zynuria – 010-4402191 atau Luke – 016- 8685266.

Suara Sarawak