MAYAT mangsa dibawa ke dermaga untuk dikenalpasti oleh ahli keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis.

SIBU: Pencarian mekanik kapal yang tergelincir dari sebuah dermaga Jalan Lanang Khamis lalu berakhir apabila mayatnya ditemui pada jam 9.20 pagi hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataannya berkata, mayat mangsa dikenali sebagai Lim Wee Sin, 50, ditemui pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurutnya, pasukan bomba telah menjumpai mayat mangsa kira-kira tiga meter dari lokasi mangsa dipercayai jatuh.

“Mayatnya telah dibawa naik ke atas dermaga untuk proses pengecaman dan mayat mangsa telah disahkan oleh keluarganya yang turut hadir di lokasi.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Rentetan penemuan itu, operasi SAR ditamatkan pada jam 9.30 pagi.

Khamis lalu, mangsa bersama beberapa orang rakannya sedang turun membaiki enjin kapal dan mangsa dipercayai telah tergelincir ketika hendak melompat masuk ke sisi kapal dan jatuh ke dalam sungai.

Menurut saksi iaitu rakan mangsa sendiri, mangsa ada timbul seketika namun terus tenggelam ke dalam sungai.

Usaha pencarian awal ada dibuat, tetapi setelah gagal kira-kira setengah jam kemudian, rakannya menghubungi MERS 999 untuk memaklumkan kepada pihak Bomba.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak