TEKNOLOGI maklumat dengan telekomunikasi yang semakin canggih serta ke arah pendigitalan berkembang dengan semakin pesat bakal memberi impak yang positif dan negatif kepada pembangunan negara termasuk dalam pembangunan modal insan.

Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKM) mengingatkan pengguna 3G agar segara beralih ke rangkaian 4G sebelum ditamatkan pada 31 Disember 2021.

Penukaran ini supaya perkhidmatan telekomunikasi pengguna tidak terkesan hingga menyebabkan ketinggalan dalam gelombang pendigitalan.

Selain itu, ia seiring dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan liputan jalur lebar yang lebih menyeluruh dan berkualiti tinggi di bawah inisiatif Infrastruktur Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela). Sebelum ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, liputan rangkaian 4G di kawasan berpenduduk telah meningkat kepada 82.86 pada suku keempat 2021 berbanding 73.67 peratus sebelum pelaksanaan Jendela pada suku kedua 2020.

Dedahnya, kementerian sentiasa memberikan tumpuan kepada penambahbaikan perkhidmatan komunikasi melalui pelaksanaan Jendela bagi menangani isu akses Internet termasuk di Sarawak.

Menerusi Fasa Satu Jendela sehingga 31 Januari lalu, sebanyak 83 daripada 836 tapak menara telekomunikasi yang dirancang telah disiapkan manakala 2,576 daripada 3,213 inisiatif menaik taraf stesen pemancar juga disiapkan di negeri terbabit.

Dalam perkembangan teknologi maklumat dan telekomunikasi yang semakin pesat pastinya memberi impak kepada semua golongan masyarakat terutamanya generasi muda.

Pengerusi Kanan Bebas Bukan Eksekutif AAX Tan Seri Rafidah Aziz juga pernah berkata, perubahan teknologi masa kini amat mempengaruhi golongan belia dalam membuat keputusan kerana sikap kebergantungan pada teknologi maklumat.

Oleh itu, beliau menyarankan agar teknologi maklumat digunakan secara positif.

Dalam hal ini teknologi mampu merubah pembangunan modal insan dengan kebergantungan kepada teknologi dalam kehidupan seharian contohnya penggunaan media sosial dalam menyampaikan maklumat berkaitan aktiviti harian dan menjadi medium pemasaran perniagaan.

Kesan teknologi maklumat terkini boleh memberi impak yang besar kepada pembangunan modal insan dalam sesebuah negara.

Antara impak positif yang kita boleh senaraikan ialah pembangunan perniagaan dalam talian contohnya aplikasi Shopee. com, Mudah.com, Lazada.com dan sebagainya.

Masyarakat juga sebenarnya boleh menggunakan medium tersebut untuk mempromosikan perniagaan sekali gus membantu meningkatkan pendapatan khasnya untuk golongan yang belum memiliki pekerjaan, kurang berkemampuan, pelajar lepasan universiti dan sebagainya.

Selain itu, teknologi dapat membantu golongan usahawan kecil mempromosikan produk hasil dari luar bandar ke peringkat antarabangsa.

Bagi impak negatif pula dalam penggunaan teknologi maklumat ialah apabila sesetengah individu menjadi ‘wartawan rakyat’ iaitu menyebarkan maklumat yang tidak sah di media sosial untuk meraih ramai pengikut di Instagram, Facebook dan Twitter.

Individu yang gemar menyebarkan maklumat yang kurang sahih boleh menggugatkan perpaduan.

Contohnya, menyentuh sensitiviti perkauman dan agama khususnya di Malaysia akan menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan rakyat.

Jadi, jangan menyebarkan sesuatu perkara membuta tuli.

Maklumat yang kurang tepat juga boleh memalukan individu yang ditujukan hingga menyebabkan individu tersebut mengalami depresi.

Secara kesimpulannya, penggunaan teknologi terkini dalam kehidupan dan masyarakat perlu digunakan secara positif supaya dapat menyumbangkan kepada pembangunan negara dan bersedia dengan perubahan-perubahan teknologi seiring dengan negara luar.

Pembangunan modal insan pula harus dititik berat oleh semua golongan masyarakat khususnya golongan belia yang mudah terpengaruh dengan budaya luar.

Pembangunan modal insan ini bermula daripada didikan ibu bapa dari rumah antaranya mendidik anak menggunakan teknologi yang lebih positif serta lebih berhemah.

Seiring dengan itu juga, pihak kerajaan dan bukan kerajaan harus pergiatkan aktiviti kesedaran dalam membentuk modal insan yang lebih positif dalam menggunakan teknologi maklumat supaya dapat membendung gejala-gejala yang tidak diingini sekali gus membantu dalam peningkatan pembangunan negara.

Gambar fail

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak