KUCHING: Seorang lelaki tempatan mengaku tidak bersalah di hadapan Mahkamah Seksyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mengambil dadah berulang.

Rito Husaini, 33, membuat pengakuan itu selepas satu pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memasukan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam badannya sendiri di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, kira-kira jam 2.11 petang, 15 November 2021.

Selain itu, tertuduh mempunyai tiga rekod jenayah lampau pada tahun 2016, 2017 dan 2018 yang melibatkan penyalahgunaan dadah.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39C (1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan boleh dikenakan sebat tidak melebihi tiga sebatan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh bagi sebutan semula kes pada 11 Mei depan.

Selain itu, tertuduh juga dilanjutkan reman sehingga tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurfazlin Mahmad Zulhasnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

Suara Sarawak