KUCHING: Seorang lelaki tempatan dihadap ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine, 13 April lalu.

Namun demikian, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Liew , 38, atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 282 gram dan 247 gram.

Dia melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Stutong Baru, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi, 13 April lalu.

Manakala, bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mengedar dadah jenis yang sama seberat 215 gram di sebuah kediaman kondominium mewah di Jalan Wan Alwi, sekitar jam 11.45 pagi, pada tarikh yang sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak digantung sampai mati.

Majistret Zubaidah menetapkan sebutan semula kes pada 10 Jun depan bagi menunggu laporan kimia.

Manakala, tertuduh dilanjutkan reman sehingga tarikh tersebut.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak