KUCHING: Berjaya mengalahkan 50 peserta dari Sabah dan Sarawak, My Sufri Channel membawa pulang wang tunai RM10,000 dan bergelar pemenang utama Borneo FB Live Sales Challenge.

Pemilik akaun facebook rasmi ini, Sufri Yusof Shamsudin akui persaingan amat sengit susulan pertandingan itu merupakan platform peserta memasarkan produk usahawan tempatan.

“Platform digital kini amat diterima oleh masyarakat termasuklah berniaga,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Menurut bekas jurukamera TV3 itu juga kejayaan tidak datang bergolek susulan kemenangan berkenaan merupakan hasil kerja keras selama beberapa bulan ini untuk memasarkan produk usahawan tempatan.

“Antara produk yang perlu kami sebagai para peserta jual adalah buah kurma, produk kesihatan dan sambal segera,” ujarnya.

Selain perlu beraksi selama satu jam untuk bersiaran langsung kata sufri, 45, beliau turut melakukan jualan secara ‘offline’ ataupun turun padang mencari pelanggan.

Situasi ini ujarnya bukanlah sukar memandangkan sebelum ini beliau bersiaran secara langsung menerusi Facebook melibatkan produk makanan, tempat menarik dan aktiviti kemasyarakatan.

“Sebelum ini saya sering membuat ‘review’ makanan di kedai-kedai makan, maka strategi saya adalah saya tenui peniaga ini semula untuk menceritakan mengenai produk dan manfaatnya…Alhamdulillah, inisiatif saya berhasil seperti sasaran perlu menjual 10 produk tetapi saya berjaya menjual 14 unit,” jelasnya.

Bercakap mengenai transformasi drastik berikutan jika sebelum ini beliau merupakan individu di belakang kamera namun kini ligat beraksi di hadapn kamera, Sufri akui pada mulanya perasaan malu agak menebal.

“Tetapi apabila kita sering melakukannya dan menjadikan ia sebagai rutin, inshaAllah perasaan malu dapat di atasi,” jelasnya platform digital bakal menjdi salah satu cabang utama punca rezeki ramai pihak selepas ini.

Pertandingan julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Koperasi Belia Inovatif Sarawak dengan sokongan
Biro Konvesyen Sarawak, MySeni Sarawak dan MAGIC Sarawak.

Suara Sarawak