KUCHING: Mesej yang tular mendakwa tentang tiada saman dikeluarkan kepada orang awam yang tidak memakai pelitup muka ketika berada di luar adalah tidak benar.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) ACP Skandaguru Ananda berkata, mesej yang tular itu adalah palsu yang mendakwa pihak polis tidak akan lagi mengeluarkan saman kepada orang awam bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka.

Katanya, Prosedur Operasi Standard (SOP) masih lagi berkuatkuasa walaupun dalam fasa endemik.

“Justeru, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan ketika berada di tempat awam,” katanya ringkas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa PDRM masih mengenakan tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan tersebut.

“Kompaun akan dikenakan jika terdapat mana-mana pihak yang melanggar SOP berkenaan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” jelasnya.

PDRM turut menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan sebagai usaha bersama mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

Suara Sarawak