KUCHING: Seorang penjual telefon dijatuhi hukuman denda RM3,000, atas dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan 16 butir peluru tanpa lesen sah.

Tertuduh Chuan Wee, 43, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini

Syarifah fatimah menetapkan tertuduh dihukum penjara dua bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa memiliki senjata sepucuk pistol 9mm dan 16 butir peluru hidup tanpa lesen sah di sebuah rumah beralamatkan Lorong 2F, Jalan Rock di sini, kira-kira jam 11.00 pagi, 28 September 2005.

Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 8(a) akta yang sama. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak telah menbuat satu serbuan di sebuah rumah yang dipercayai terdapat kegiatan dadah.

Hasil serbuan dan pemeriksaan pada rak kayu tempat sembahyang rumah terbabit telah menemui 16 butir peluru, sepucuk pistol dan 35 utas tangkal azimat.

Siasatan lanjut mendapati pistol dan peluru yang diuji oleh pegawai persenjataan adalah buatan sendiri yang berfungsi dengan baik dan boleh meletup serta melepaskan tembakan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak