KUCHING: Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri menerima tugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu, hari ini.

Mohd Azman mengambil alih tugas tersebut daripada Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata dalam Majlis serah terima tugas yang disaksikan oleh Pengarah Jabatan Kementerian Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman CP Datuk Seri Hazani Ghazali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini.

Mohd Azman, 58, berasal dari Taiping, Perak sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Risikan/ Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menggantikan Datuk Aidi Ismail yang berpindah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) pada 21 Februari lalu.

Hazani dalam ucapannya berkata, kemampuan dan karisma yang dimiliki oleh Mohd Azman serta pengalaman selama ini akan terus membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada masyarakat negeri ini.

“IPK Sarawak di bawah pimpinan Mohd Azman dapat memimpin ke arah kepolisan berkelas dunia seperti mana kehendak pucuk pimpinan,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan kepada Mancha yang menggalas tugas selaku Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak selama dua bulan tujuh hari.

Sementara, Mohd Azman dalam ucapan menzahirkan penghargaan kepada Ketua Polis Negara atas pelantikannya dan akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

Beliau turut menuntut sokongan dan kerjasama barisan kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak serta warga PDRM Sarawak untuk terus memberikan perkhidmatan kepolisan yang terbaik kepada masyarakat dan negara.

“Kegemilangan PDRM Sarawak dalam mengekalkan ketenteraman dan keamanan di negeri ini harus dikekalkan di samping benteng keselamatan negara terus diperkukuhkan.

“Di sini saya juga mengajak seluruh warga Pdrm Sarawak bersama saya untuk menjayakan tiga fokus utama yang digariskan oleh Ketua Polis Negara iaitu memperkasakan integriti, memantapkan penyampaian perkhidmatan serta mendukung dasar dan usaha kerajaan mengekalkan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Majlis yang sama turut menyaksikan penyerahan tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Sarawak dari Datin Jennita William kepada Datin Nassariah Mohd Nassir yang disaksikan oleh Datin Seri Fadziah Abdul Hamid.

Selain itu, Hazani turut menyampaikan anugerah Lencana Sayap Kehormat Payung Terjun 69 Komando kepada Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak Senior Asisten Komisioner Gilberd Philip Layang, Ketua Cawangan Khas Sarawak Senior Asisten Komisioner Hairdudin Che Hamid dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Lukas Aket.

 

Pengarah Jabatan KDNKA Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali menyaksikan penyerahan tugas Pesuruhjaya Polis Sarawak dari Datuk Mancha Ata (kiri) kepada Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri (kanan). Foto Ramidi Subari

Suara Sarawak