KUCHING: Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi tujuan Dana Mudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak untuk tahun ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia fokus kepada program, aktiviti dan pembangunan kapasiti yang menyumbang kepada pembangunan sektor warisan, kesenian dan kebudayaan di negeri ini.

“Dana ini terbuka kepada semua penggiat seni (individu), persatuan/pertubuhan/badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan/pertubuhan/badan bukan berorientasikan keuntungan (NPO) di Sarawak.

“Aktiviti dan program yang ditaja oleh dana ini harus memberi faedah dan merangsang pemulihan sektor warisan, kesenian dan kebudayaan daripada impak pandemik Covid-19,” katanya pada sidang media Dana Mudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Karim memberitahu objektif dana tersebut adalah bagi memberi sokongan dan membantu mempercepatkan pemulihan sektor tersebut, menggalakkan dan memastikan kelangsungan program dan aktiviti berkaitan serta meningkatkan kapasiti penggiat industri berkenaan.

“Permohonan boleh dibuat bermula hari ini sehingga 28 Oktober 2022 dengan borang serta garis panduan boleh dimuat turun dari laman web rasmi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, mtcp.sarawak.gov.my.

“Semua aktiviti cadangan hendaklah dilaksanakan dalam tahun. Permohonan juga hendaklah dikemukakan tidak lewat dari 60 hari atau dua bulan sebelum tarikh pelaksanaan program atau aktiviti,” ujarnya.

Bagi syarat permohonan, Karim memberitahu skop program dan aktiviti boleh melibatkan bengkel, kelas, kursus, persidangan, simposium, forum, dialog, seminar, pementasan, pertandingan, pameran, pesta, pendokumentasian (termasuk penerbitan buku dan perfileman), kegiatan yang melibatkan komuniti setempat.

Abdul Karim merakam kenangan pada sidang media Dana Mudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak di sini, hari ini.

Suara Sarawak