SELESAI…Datuk Francis Harden Hollis (empat dari kiri) bergambar

KUCHING: Datuk Francis Harden Hollis menyifatkan penganjuran Liga Sukan Malaysia (MSL) 2022 Peringkat Bahagian Sri Aman merupakan landasan terbaik bagi memupuk budaya bersukan di kalangan masyarakat.

Timbalan Menteri Pembangunan Bakat (MEITD) itu berkata, penganjuran sukan tersebut sekali gus dapat mencungkil bakat pemain di peringkat akar umbi dan melatih mereka melaksanakan aktiviti sukan.

“Dalam masa yang sama, sukan ini juga dapat meningkatkan keharmonian, perpaduan dan sikap kesukarelawanan di kalangan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Liga Sukan Malaysia (MSL) 2022 Peringkat Bahagian Sri Aman di Stadium Mini, Majlis Daerah Sri Aman, pagi tadi.

Menerusi MSL 2022 ini katanya, dilihat sambutan juga begitu hebat dan peserta terlibat dapat mempamerkan bakat masing-masing dengan cara bersukan.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa yang telah berusaha mengadakan program tersebut yang berjaya menyemarakkan lagi aktiviti bersifat kecergasan fizikal melalui acara sukan.

Sebanyak lima jenis acara sukan dipertandingkan pada MSL 2022 Peringkat Bajagian Sri Aman iaitu sepak takraw, bola jaring, bola keranjang 3 on 3, badminton dan futsal.

Hadir sama, Frank Lani mewakili Residen Bahagian Sri Aman, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak Lamat Nyalau, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman Khalid Hamid, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA), Alfred Kendim serta ketua-ketua masyarakat setempat.

UNTUK KENANGAN…Datuk Francis Harden Hollis (tengah) bergambar dengan semua yang hadir.

Suara Sarawak