SEPERTI kebanyakan restoran lain, apabila menjelang Ramadan, Restoran Selera Bonda juga tidak ketinggalan untuk menyediakan juadah untuk berbuka puasa.

Bertempat di Jalan Baru, Kampung Hilir, Simanggang, antara menu yang mendapat sambutan dan menjadi pilihan utama pelanggan apabila berkunjung ke Selera Bonda adalah nasi beriani.

Menurut pemiliknya, Noraida Bujang, nasi beriani berkenaan merupakan hidangan kegemaran arwah bapanya, Bujang Sulaiman.

“Setiap kali berkunjung ke Kuching, arwah tidak pernah ketinggalan untuk membeli nasi beriani di Bukhari Cafe di jalan Satok.

“Walaupun sudah menikmati nasi beriani di kedai tersebut, namun, arwah juga turut untuk tapau makanan tersebut dan dibawa pulang ke Sri Aman

“Ini menunjukkan betapa berselera dan minatnya arwah dengan hidangan nasi beriani Bukhari Cafe,”

CETUSAN IDEA ARWAH BAPA… Noraida menunjukkan hidangan nasi beriani cetusan idea arwah bapanya yang menjadi tarikan dan sentiasa mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan setiap kali Ramadan

“Atas cadangan dan permintaan arwah juga, hidangan ini telah dijual di Restoran Selera Bonda sejak 2019 ketika Ramadan,” ujar Noraida mengimbau kembali nostalgia hidangan nasi beriani di restorannya ketika perbualannya dengan Suara Sarawak.

Tambah Noraida, melihat minat arwah bapanya dengan nasi tersebut, ibunya berusaha dan mencuba untuk memasak sendiri nasi beriani di rumah dan seperti lazimnya arwah bapanya yang pertama merasai selain bertindak sebagai panel kepada masakan tersebut.

“Dan sudah semestinya sebagai ‘panel’ arwah akan mengulas setiap yang kurang pada nasi tersebut.

“Tidak putus asa, kakak saya, Salbiah yang juga penggemar dan pencinta nasi beriani telah bersatu hati dengan ibu untuk terus mencuba memasak hidangan nasi beriani tersebut sehinggalah ia menepati selera arwah,” katanya.

Jelas Noraida lagi, hidangan nasi beriani ini sejak itu juga telah menjadi hidangan utama mereka pada setiap kali majlis keluarga diadakan.

“Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, hidangan nasi beriani ini sering mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan terutamanya apabila menjelang Ramadan,”

“Nasi Beriani Selera Bonda disediakan dalam beberapa pilihan antaranya ialah, Nasi Beriani Kari Kambing (lamb shank), daging masak hitam, ayam masak merah, ayam kari, itik masak hitam dan daging kari,” kata Noraida sambil memaklumkan walaupun arwah bapanya telah tiada, namun setiap nasihat dan tunjuk ajarnya sentiasa menjadi amalan beliau.

Suara Sarawak