Kesemua tertuduh menunggu di ruang Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUCHING: Seramai 23 orang nelayan warga Vietnam mengaku tidak bersalah di hadapan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas satu pertuduhan melakukan aktiviti perikanan di perairan negara tanpa permit.

Tertuduh Nguyen Truong Phong bersama anak kapal yang lain berusia 24 hingga 60 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua mereka didakwa menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa sebarang permit yang sah dikeluarkan mengikut Seksyen 19 Akta Perikanan 1985.

Mereka didapati melakukan kesalahan itu di dalam sebuah bot ikan dengan jarak 107.7 batu nautika dari Tanjung Sirik, Sarawak sekitar jam 12.40 tengah hari, 20 Mac lalu.

Oleh itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dibaca bersama Subseksyen 24(1) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 dibaca bersama Seksyen 52 (1) (a) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum tidak melebihi RM6 juta bagi setiap tekong atau nakhoda dan RM600,000 bagi setiap kru kapal.

Selain itu, di bawah Seksyen 52(1)(a)(i) dan (ii) Akta Perikanan 1985 pula memerintahkan vesel (termasuk peralatan) yang digunakan dilucuthakkan dan hasil semua tangkapan juga dilucuthakkan.

Mahkamah menetapkan bagi tarikh pengurusan kes pada 21 Mei depan, dan tiada sebarang ikat jamin ditawarkan kepada kesemua tertuduh.

Justeru itu, kesemua mereka ditahan sehingga tarikh pengurusan kes.

Dalam kes berkaitan, di Mahkamah Sesyen berasingan, lima orang nelayan Vietnam yang lain berusia 19 tahun hingga 34 tahun mengaku tidak bersalah apabila didakwa melakukan kesalahan memasuki perairan negara tanpa memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Tertuduh Le Chi Dung, Danh Chung, Lam Van Duoc, Nyugen Tri Tinh dan Tran Van Duoc Em membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Maris Agan.

Menurut pertuduhan, mereka didakwa gagal memaklumkan kepada seorang pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili dalam bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia tentang nama, negara, bendera, lokasi jalan dan destinasi bot tersebut, jenis dan jumlah ikan yang dibawa dan hal keadaan bot tersebut memasuki perairan Perikanan Malaysia.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut dalam sebuah bot dengan jarak 88.4 batu nautika dari Tanjung Sirik, Sarawak, kira-kira jam 10.10 pagi, 20 Mac lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dibaca bersama Subseksyen 24 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM6 juta membabitkan tuan punya bot dan RM100,000 membabitkan kru jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan tarikh bagi pengurusan kes pada 10 Mei depan manakala kesemua mereka tidak ditawarkan sebarang jaminan.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Maritim Yong Ann Nee manakala kesemua tertuduh diwakili seorang Peguam Andin Linton.

Terdahulu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara dan menangkap ikan secara tunda gading tanpa permit yang sah.

Seramai 33 kru termasuk tekong warga Vietnam berusia 19 hingga 60 tahun ditahan dan diperiksa gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesemua peralatan menangkap ikan seperti bekalan diesel 22,000 liter dan hasil tangkapan 30 tan ikan campur turut dirampas.

Jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM2.5 juta.

Suara Sarawak