KUCHING: Seramai 173 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta 101 Pegawai Pemantau Harga dikerahkan dalam Ops Pantau 2022.

Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan berkata, ia bertujuan memantau harga barangan sepanjang bulan Ramadan sehingga Hari Raya Aidilfitri kelak.

“Sepanjang membuat pemantauan, pematuhan dari aspek undang-undang di seluruh kawasan di Sarawak sangat memuaskan.

“Pada masa sama, pihak kami juga komited membuat pemantauan dari segi bekalan barang, harga, alat timbangan, penjualan produk tiruan, logo halal dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada wartawan selepas melancarkan Ops Pantau Bazar Ramadan di Bazar Ramadan Mydin Mall Semariang, di sini, hari ini.

Jelasnya, tiada aduan atau kes yang dikesan setakat ini, hanya beberapa kesilapan kecil yang dilakukan oleh peniaga.

Dalam pada itu, sebanyak 3,006 premis di bawah Ops Pantau 2022 telah diperiksa setakat 12 April dan 18 kes dikesan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk tidak memaparkan tanda harga serta penentusahan timbang dan sukat.

Stanley ketika ditemu wartawan selepas membuat tinjauan di Bazar Ramadan Mydin Mall Semariang

Suara Sarawak